TAHNIAH DSAI

Association Of Malaysian Optometrists (AMO) mengucap syukur ke hadrat Allah S.W.T dan menjunjung kasih pada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan Baginda melantik YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10. Ucapan tahniah dan syabas dirakamkan kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hari Penglihatan Sedunia (WSD)

Memperkasakan Penyampaian Jagaan Kesihatan Mata dan Penglihatan.

Setiap tahun, Hari Penglihatan Sedunia (WSD) disambut pada hari Khamis kedua bulan Oktober. Tahun ini, WSD jatuh pada tarikh 13 Oktober 2022. Bersempena WSD 2022 dengan tema “Sayangi Mata Anda”, Persatuan Optometris Malaysia (AMO) bersama Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dalam memastikan objektif-objektif berikut dapat dicapai:

1. Pengesanan awal penyakit mata dan masalah penglihatan dalam kalangan ahli Keluarga Malaysia.
Berdasarkan Kajiselidik Mata Kebangsaan I & II, 86.3% masalah kebutaan boleh dielakkan melalui pengesanan dan rawatan awal. Sistem kesihatan awam di Malaysia lebih mengutamakan konsep “Rawat Selepas Sakit” berbanding “Kesan Sebelum Sakit”. Ini jelas dilihat melalui data-data pesakit mata yang hadir ke fasiliti kesihatan awam mahupun swasta yakni pesakit mata yang hadir sudah mempunyai risiko kebutaan sama ada boleh dirawat atau tidak. Pada masa yang sama, kita melihat kadar penggunaan sumber untuk melaksanakan pengesanan awal penyakit mata dan penglihatan berada pada paras yang tidak memuaskan. Justeru, kami berharap agar sumber-sumber yang tersedia di sektor awam & swasta seperti jururawat masyarakat dan optometris boleh digunakan dengan lebih optimum serta menyeluruh untuk mengurangkan jumlah masalah kebutaan yang boleh dielak dalam kalangan Rakyat.

2. Mengurangkan masa menunggu dan kesesakan pesakit mata di hospital awam.
Sekiranya kita melawat ke klinik-klinik mata di hospital awam di seluruh Malaysia, satu fenomena yang menjadi kebiasaan ialah masa menunggu yang sangat lama dan kesesakan dalam fasiliti klinik mata. Hal ini berpunca daripada semua aktiviti rujukan pesakit daripada pengamal perubatan kepada penjagaan kesihatan tertiari iaitu klinik pakar mata tanpa melalui tapisan oleh penyedia perkhidmatan kesihatan mata primer seperti optometris sama ada di peringkat sektor awam mahupun swasta. Maka, semua pihak diseru untuk menggunakan perkhidmatan kesihatan mata primer yang tersedia di seluruh Malaysia termasuklah perkhidmatan optometris. Para optometris bukan sahaja terlatih dalam menyaring dan mengesan penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan retinopati diabetes, bahkan mempunyai pengetahuan dalam pengendalian pelbagai masalah kesihatan mata di peringkat primer.

3. Meningkatkan produktiviti dan pencapaian para pekerja melalui penglihatan yang baik.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa masalah rabun yang tidak dirawat (URE) merupakan penyumbang utama kepada kehilangan produktiviti para pekerja di seluruh dunia. Pada tahun 2010, kehilangan produktiviti akibat URE dianggarkan bernilai USD272 billion. Laporan Penglihatan Sedunia 2020 menganggarkan 5 billion penduduk dunia akan mengalami masalah rabun jauh menjelang tahun 2050. Kami menyeru semua pihak untuk berkerjasama dalam memastikan Rakyat memperolehi perkhidmatan kesihatan mata dan penglihatan yang terbaik. Kami berharap agar semua pihak termasuklah optometris, oftalmologis, dan pengamal perubatan berperanan secara lebih holistik dalam menggembleng tenaga untuk memastikan masalah penglihatan dapat dikesan lebih awal dan penyakit-penyakit mata disaring pada peringkat primer agar produktiviti Rakyat adalah terjaga.

Secara tuntasnya, kami menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam memperkasakan penyampaian jagaan kesihatan mata dan penglihatan di Malaysia. Pihak kerajaan diseru untuk menggunakan sumber-sumber yang ada sepenuhnya termasuklah profesional di sektor swasta seperti pengamal optometris yang berdaftar. Penekanan harus diberikan terhadap aktiviti pengesanan awal penyakit mata selain melakukan aktiviti pencegahan yang sudah semestinya lebih baik daripada merawat.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA.

Persatuan Optometris Malaysia & Gabungan Kesihatan Malaysia
12 OKTOBER 2022