PILIHANRAYA MAJLIS OPTIK MALAYSIA DIHARAPKAN DAPAT BERJALAN LANCAR DENGAN SEMUA OPTOMETRIS DIPINTA UNTUK MENGUNDI CALON-CALON PILIHAN AMO.

Persatuan Optometris Malaysia (AMO) menyambut baik surat jawapan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Majlis Optik Malaysia bertarikh 14 Oktober 2022 terhadap surat bantahan AMO berkaitan syarat mengundi & proses pengundian Pemilihan Ahli Majlis Optik Malaysia Sesi 2023/2026.

AMO melahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tan Sri Dato’ Seri Dr. atas jawapan yang diberikan.

AMO ingin menegaskan bahawa hak mengundi untuk memilih wakil Optometris ke Majlis Optik Malaysia (MOC) ialah hak setiap Optometris yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia tidak kira sama ada Optometris tersebut memperbaharui Sijil Amalan Tahunan (“Annual Practicing Certificate, APC”) atau pun tidak.

Berikutan itu, jentera pilihanraya AMO ingin mengesyorkan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh SEMUA OPTOMETRIS berdaftar di Malaysia:

1. Sila ambil maklum bahawa MOC telah mula mengepos kertas undi ke alamat yang didaftarkan dengan mereka ketika anda memperbaharui APC tahun ini atau tahun-tahun sebelum ini ataupun alamat didaftarkan ketika mendaftar sebagai Optometris bertauliah selepas bergraduasi (jika anda tidak pernah memperbaharui APC). Aktiviti pengeposan ini dikatakan telah berjalan sejak 3 Oktober 2022 dan dijangka berjalan sehingga 30 November 2022.

2. AMO dengan ini ingin menasihati semua Optometris berdaftar di Malaysia yakni Optometris yang berdaftar dengan MOC (mempunyai nombor perdaftaran O-xxxxx) agar:

a. Mengemaskini maklumat surat-menyurat anda dengan Majlis Optik Malaysia melalui hantaran emel ke MOC. Anda boleh meletakkan SUBJEK emel bertajuk KEMASKINI ALAMAT OPTOMETRIS dan tuliskan alamat terkini dan nombor telefon terkini anda dalam emel tersebut. Sila emelkan butiran terkini anda ke moc@moh.gov.my.

b. Tidak perlu risau & takut untuk mengemaskini maklumat surat-menyurat anda dengan Majlis Optik Malaysia. Diingatkan bahawa SETIAP OPTOMETRIS berhak menerima kertas undi sama ada anda memperbaharui APC atau tidak.

c. Semua Optometris berdaftar boleh mengundi dan hak mengundi ini termaktub dalam Akta Optik 1991 dan Peraturan Optik 1994.

d. Jika anda telah menerima kertas undi anda, anda boleh menjadi agen perubahan dengan mengingatkan rakan-rakan Optometris anda untuk turut mengundi. Pilihlah calon yang dinamakan oleh AMO iaitu;
i. AHMAD FADHULLAH BIN FUZAI
ii. MOHD ZAKI BIN AWG ISA

e. War-warkan proses pengundian & tatacara pengundian kepada rakan-rakan Optometris anda. Rujuk lampiran “CARA MENGUNDI” & “TATACARA MENGUNDI” yang disediakan.

f. AMO juga akan menggerakkan jentera pilihanraya di seluruh negara. Ini termasuklah dengan menyediakan “Point of Contact & Collection (PCC)” iaitu pusat pertanyaan & pusat pengumpulan undi untuk dihantar secara pukal kepada MOC melalui serahan tangan. Sila ikuti pengumuman akan datang berkenaan senarai PCC di negeri anda.

g. Jika anda tidak menerima kertas undi anda selewat-lewatnya 30 November 2022, AMO menasihatkan anda untuk memaklumkan insiden ini dengan menghubungi Bilik Gerakan Pilihanraya AMO di talian 011-2610 2040 (Whatsapp sahaja) atau emel secretariat@amo.org.my atau PM Facebook Page/Instagram Page AMO.

h. MOC telah berjanji bahawa sekiranya Optometris berdaftar tidak menerima kertas undi, kehilangan kertas undi atau kertas undi telah rosak, maksimum satu (1) lagi kertas undi akan dikeluarkan kepada Optometris berkenaan sebagai ganti.

i. Optometris berdaftar juga boleh mengambil kertas undi secara manual melalui serahan tangan dengan hadir sendiri di pejabat MOC. Wakil tidak dibenarkan mengambil kertas undi di pejabat MOC.

j. Jika anda berhadapan masalah ataupun mempunyai pertanyaan mahupun kekeliruan berkaitan pengundian, anda boleh berhubung dengan AMO melalui kaedah yang disebutkan di atas pada bila-bila masa. AJK Bilik Gerakan Pilihanraya AMO akan cuba memberikan maklum balas secepat yang mungkin bagi membantu anda.

3. AMO juga mengalu-alukan seruan MOC untuk semua pihak mengamalkan kempen pemilihan yang beretika & profesional. AMO berharap pemilihan wakil Optometris ke Majlis Optik Malaysia sesi 2023/2026 dapat berjalan lancar, telus dan berhemah.

Akhir kata, AMO mengajak semua Optometris untuk membuat pilihan yang terbaik dengan menghantar wakil yang BERJUANG UNTUK SEMUA Optometris di Malaysia dan telah terbukti “track record” mereka tanpa mereka berputus asa, tidak meletakkan jawatan sewenang-wenangnya dari organisasi dan sentiasa bertungkus-lumus demi profesyen tercinta ini seperti calon yang disokong oleh AMO iaitu Encik Ahmad Fadhullah bin Fuzai dan Prof. Madya Dr Mohd Zaki bin Awg Isa.

Fighting for all🔥
🗣️ Ahmad & Zaki ✖️

Vision with Action,
♟️ Secretariat AMO ♟️